Nabi Zakaria AS , ayahnya Nabi Yahya
sedar dan mengetahui bahawa anggota-anggota keluarganya,
saudara-saudaranya, sepupu-sepupunya dan anak-anak saudaranya adalah
orang-orang jahat Bani Israil yang tidak segan-segan melanggar
hukum-hukum agama dan berbuat maksiat, disebabkan iman dan rasa
keagamaan mereka belum meresap betul didalam hati mereka, sehingga
dengan mudah mereka tergoda dan terjerumus ke dalam lembah kemungkaran
dan kemaksiatan. Ia khuatir bila ajalnya tiba dan meninggalkan mereka
tanpa seorang waris yang dapat melanjutkan pimpinannya atas kaumnya,
bahawa mereka akan makin rusak dan makin berani melakukan kejahatan dan
kemaksiatan bahkan ada kemungkinan mereka mengadakan perubahan-perubahan
di dalam kitab suci Taurat dan menyalah-gunakan hukum-hukum agama.
Kekhuatiran itu selalu
mengganggu fikiran Zakaria disamping rasa sedih hatinya bahawa ia sejak
kahwin hingga mencapai usia sembilan puluh tahun, Tuhan belum
mengurniakannya dengan seorang anak yang ia idam-idamkan untuk menjadi
penggantinya memimpin dan mengimami Bani Isra’il. Ia agak terhibur dari
rasa sedih dan kekhuatirannya semasa ia bertugas memelihara dan
mengawasi Maryam yang dapat dianggap sebagai anak kandungnya sendiri.
Akan tetapi rasa sedihnya dan keinginanya yang kuat untuk memperolhi
keturunan tergugah kembali ketika ia menyaksikan mukjizat hidangan
makanan dimihrabnya Maryam. Ia berfikir didalam hatinya bahawa tiada
sesuatu yang mustahil di dalam kekuasaan Allah. Allah yang telah memberi
rezeki kepada Maryam dalam keadaan seorang diri tidak berdaya dan
berusaha, Dia pula berkuasa memberinya keturunan bila Dia kehendaki
walaupun usianya sudah lanjut dan rambutnya sudah penuh uban.
Pada suatu malam yang sudah
larut duduklah Zakaria di mihramnya menghiningkan cipta memusatkan
fikiran kepada kebesaran Allah seraya bermunajat dan berdoa dengan
khusyuk dan keyakinan yang bulat. Dengan suara yang lemah lembut
berucaplah ia dalam doanya: “Ya Tuhanku berikanlah aku seorang putera
yang akan mewarisiku dan mewarisi sebahagian dari keluarga Ya’qub, yang
akan meneruskan pimpinan dan tuntunanku kepada Bani Isra’il. Aku khuatir
bahawa sepeninggalanku nanti anggota-anggota keluargaku akan rusak
kembali aqidah dan imannya bila aku tinggalkan mati tanpa seorang
pemimpin yang akan menggantikan aku. Ya Tuhanku, tulangku telah menjadi
lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban sedang isteriku adalah seorang
perempuan yang mandul namun kekuasaan-Mu adalah diatas segala kekuasaan
dan aku tidak jemu-jemunya berdoa kepadamu memohon rahmat-Mu mengurniai
kau seorang putera yang soleh yang engkau redhai.”
Allah berfirman memperkenankan
permohonan Zakaria: “Hai Zakaria Kami memberi khabar gembira kepadamu,
kamu akan memperoleh seorang putera bernama Yahya yang soleh yang
membenarkan kitab-kitab Allah menjadi pemimpin yang diikuti bertahan
diri dari hawa nafsu dan godaan syaitan serta akan menjadi seorang
nabi.”
Berkata Zakaria: “Ya Tuhanku
bagaimana aku akan memperolehi anak sedangkan isteri adalah seorang
perempuan yang mandul dan aku sendiri sudah lanjut usianya.”
Allah menjawab dengan
firman-Nya: “Demikian itu adalah suatu hal yang mudah bagi-Ku. Tidakkah
aku telah ciptakan engkau padahal engkau di waktu itu belum ada sama
sekali?”
Berkata Zakaria: “Ya Tuhanku,
berilah aku akan suatu tanda bahawa isteri aku telah mengandung.” Allah
berfirman: “Tandanya bagimu bahawa engkau tidak dapat berkata-kata
dengan manusia selama tiga hari berturut-turut kecuali dengan isyarat.
Dan sebutlah nama-Ku sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah diwaktu
petang dan pagi hari.”
Nabi Yahya bin Zakaria a.s.
tidak banyak dikisahkan oleh Al-Quran kecuali bahawa ia diberi ilmu dan
hikmah selagi ia masih kanak-kanak dan bahawa ia seorang putera yang
berbakti kepada kedua ora ng tuanya dan bukanlah orang yang sombong
durhaka. Ia terkenal cerdik pandai, berfikiran tajam sejak ia berusia
muda, sangat tekun beribadah yang dilakukan siang dan malam sehingga
berpengaruh kepada kesihatan badannya dan menjadikannya kurus kering,
wajahnya pucat dan matanya cekung.
Ia dikenal oleh kaumnya sebagai
orang alim menguasai soal-soal keagamaan, hafal kitab Taurat, sehingga
ia menjadi tempat bertanya tentang hukum-hukum agama. Ia memiliki
keberanian dalam mengambil sesuatu keputusan, tidak takut dicerca orang
dan tidak pula menghiraukan ancaman pihak penguasa dalam usahanya
menegakkan kebenaran dan melawan kebathilan.
Ia selalu menganjurkan
orang-orang yang telah berdosa agar bertaubat dari dosanya. Dan sebagai
tanda taubatnya mereka dipermandikan { dibaptiskan } di sungai Jordan,
kebiasaan mana hingga kini berlaku di kalangan orang-orang Kristian dan
kerana Nabi Yahya adalah orang pertama yang mengadakan upacara itu, maka
ia dijuluki “Yahya Pembaptis”.
Dikisahkan bahawa Hirodus
Penguasa Palestin pada waktu itu mencintai anak saudaranya sendiri
bernama Hirodia, seorang gadis yang cantik, ayu, bertubuh lampai dan
ramping dan berhasrat ingin mengahwininya. Sang gadis berserta ibunya
dan seluruh anggota keluarga menyentujui rencan perkahwinan itu, namun
Nabi Yahya menentangnya dan mengeluarkan fakwa bahawa perkahwinan itu
tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan syariat Musa yang
mengharamkan seorang mengahwini anak saudaranya sendiri.
Berita rencana perkahwinan
Hirodus dan Hirodia serta fatwa Nabi Yahya yang melarangnya tersiar di
seluruh pelosok kota dan menjadi pembicaraan orang di segala tempat di
mana orang berkumpul. Herodia si gadis cantik calon isteri itu merasa
sedih bercampur marah terhadap Nabi Yahya yang telah mengeluarkan fatwa
mengharamkan perkahwinannya dengan bapa saudaranya sendiri, fatwa mana
telah membawa reaksi dan pendapat dikalangan masyarakat yang luas. Ia
khuatir bahawa bapa saudaranya Herodus calon suami dapat terpengaruh
oleh fatwa Nabi Yahya itu dan terpaksa membatalkan perkahwinan yang
sudah dinanti-nanti dan diidam-idamkan, bahkan bahkan sudah menyiapkan
segala sesuatu berupa pakaian mahupun peralatan yang perlu untuk pesta
perkahwinan yang telah disepakati itu.
Menghadapi fatwa Nabi Yahya dan
reaksi masyarakat itu, Herodia tidak tinggal diam. Ia berusaha dengan
bersenjatakan kecantikkan dan parasnya yang ayu itu mempengaruhi bapa
saudaranya calon suaminya agar rencana perkahwinan dilaksanakan menurut
rencana. Dengan merias diri dan berpakaian yang merangsang, ia pergi
mengunjungi bapa saudaranya Herodus yang sedang dilanda mabuk asmara.
Bertanya Herodus kepada anak saudaranya calon isterinya yang nampak
lebih cantik daripada biasa : “Hai manisku, apakah yang dapat aku
berbuat untukmu. Katakanlah aku akan patuhi segala permintaanmu,
kedatanganmu kemari pada saat ini tentu didorong oleh sesuatu hajat yang
mendesak yang ingin engkau sampaikan kepadaku. Sampaikanlah kepadaku
tanpa ragu-ragu, hai sayangku, aku sedia melayani segala keperluan dan
keinginanmu.”
Herodia menjawab: “Bila Tuan
Raja berkenan, maka aku hanya mempunyai satu permintaan yang mendorongku
datang mengunjungi Tuanku pada saat ini. Permintaanku yang tunggal itu
ialah kepala Yahya bin Zakaria orang yang telah mengacau rencana kita
dan mencemarkan nama baik Tuan Raja dan namaku sekeluarga di segala
tempat dan penjuru. Supaya dia dipenggal kepalanya. Alangkah puasnya
hatiku dan besarnya terima kasihku, bila Tuanku berkenan meluluskan
permintaanku ini”.
Herodus yang sudah tergila-gila
dan tertawan hatinya oleh kecantikan dan keelokan Herodia tidak berkulik
menghadapi permintaan calon isterinya itu dan tidak dapat berbuat
selain tunduk kepada kehendaknya dengan mengabaikan suara hati nuraninya
dan panggilan akal sihatnya. Demikianlah maka tiada berapa lama
dibawalah kepala Yahya bin Zakaria berlumuran darah dan diletakkannya di
depan kesayangannya Herodia yang tersenyum tanda gembira dan puas hati
bahawa hasratnya membalas dendam terhadap Yahya telah terpenuhi dan
rintangan utama yang akan menghalangi rencana perkahwinannta telah
tersingkirkan, walaupun perbuatannya itu menurunkan laknat Tuhan atas
dirinya, diri rajanya dan Bani Isra’il seluruhnya.
Cerita tentang Zakaria dan Yahya
terurai di atas dikisahkan oleh Al-Quran, surah Maryam ayat 2 sehingga
ayat 15, surah Ali Imran ayat 38 senhingga ayat 41 dan surah Al-Anbiya’
ayat 89 sehingga ayat 90.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar